was successfully added to your cart.

Cart

December 17, 2015 | Freda Liu, BFM 89.9

Deretan barangan kraftangan yang comel dan menawan mengujakan pengunjung di ruang pameran.

Penulis sendiri berminat mendapatkan bantal kecil berbentuk burung hantu, anak patung dijahit tangan dan aksesori perhiasan wanita.

Lebih menarik, ketika menjejakkan kaki ke ruang pameran di pusat beli-belah Great Eastern di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, penulis berpeluang berkenalan dengan peniaga yang menjual pelbagai barangan kraftangan bermutu tinggi.

Senaraikan saja barangan ingin dijual, semuanya menarik perhatian. Daripada tekstil diperbuat daripada buluh, bahan kitar semula yang diolah menjadi barangan bermutu, bahan bacaan kanak-kanak sehinggalah perhiasan mini yang mampu menyerikan rak di ruang tamu.

Pakaian kanak-kanak yang dijahit pelarian wanita Myanmar di Malaysia, beg dan rekaan kasut oleh orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran dan bisu turut dpamerkan dan dijual.

Peniaga berdedikasi yang tidak semata-mata memfokuskan kepada keuntungan ini dikenali sebagai Usahawan Sosial Malaysia atau Socent yang digabungkan di bawah The Good Shop.

The Good Shop membantu Socent menjana pendapatan dengan membuat dan menjual pelbagai barangan mampu milik dan mesra alam.

Socent terdiri daripada mereka yang berkemahiran tinggi sama ada penghuni rumah kebajikan, pertubuhan kebajikan, OKU serta ibu tunggal.

Pengarah MyInitium Sdn Bhd, Eena Khalil Lim berkata, The Good Shop diwujudkan setahun lalu sebagai platform untuk membantu Socent daripada pelbagai latar belakang menjana pendapatan dengan menjalankan perniagaan. MyInitium adalah syarikat yang menguruskan The Good Shop.

“Inisiatif The Good Shop menampung misi khas sama ada dari segi bantuan sosial, budaya mahupun alam sekitar. Kutipan setiap hasil jualan akan disalurkan kepada misi di bawah perancangan Socent.

“Bagaimanapun, matlamat jangka panjang kami ingin menjadi peruncit pelbagai jenama dengan menawarkan produk berkualiti tinggi yang diusahakan 100 peratus pengusaha tempatan.

“Kami berusaha keras membantu Socent me­ngintai peluang perniagaan hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

The Good Shop bermula dengan lima Socent pada Mei lalu di Sunway Pyramid, namun menjelang November lalu, jumlah itu meningkat kepada 19.

Beliau menyasarkan sebanyak 30 Socent bernaung di bawah The Good Shop menjelang penghujung tahun depan.

“Namun, selain ingin menjana keuntungan, setiap Socent perlu ada tujuan atau matlamat yang selari dengan misi The Good Shop.

“Matlamat itu diletakkan dalam beberapa kategori iaitu sosial yang membabitkan anak yatim, OKU, ibu tunggal, warga emas dan kebajikan haiwan; warisan dan budaya meliputi kraftangan, songket, batik dan makanan tempatan manakala alam sekitar mengenai pengurangan sampah sarap, penggunaan sumber mampan dan mesra alam.

“Socent juga perlu menawarkan produk berkualiti dan mampu bersaing dengan produk bukan usahawan sosial,” katanya.

Berikutan itu, Eena menasihatkan bakal Socent supaya memastikan matlamat dan struktur perniagaan yang disasarkan jelas.

“Umpamanya sasaran mahu membantu golongan pelarian di Malaysia, apakah mekanisme sesuai yang dapat digunakan bagi membantu mereka.

“Jika penghasilan produk menggunakan tenaga kerja golongan ini, mereka perlu mengenal pasti produk yang boleh dihasilkan, kemampuan menarik perhatian pembeli dan perancangan teliti agar perniagaan dapat berterusan,” katanya.

Pemerhatian penulis pada pusat jualan Socent di pusat beli-belah Great Eastern mendapati ia mendapat sambutan warga tempatan tanpa mengira usia dan kaum selain pelancong dari luar negara.

Walaupun The Good Shop tidak mempunyai pusat jualan tetap bagi menempatkan semua produk, ia tidak menghalang Socent meneruskan minat dan usaha mereka.

“Buat masa ini, pameran bergerak diadakan di beberapa tempat sekitar Lembah Klang. The Good Shop akan berada di pusat beli-belah Ikon Connought dari 20 November hingga 6 Disember, Menara Telekom (23 hingga 26 November), Avenue K (27 November hingga 3 Januari) dan Great Eastern Mall (10 Disember hingga 3 Januari).

“Malah, orang ramai berpeluang membeli barangan kesukaan mereka secara dalam talian dengan melayari laman web www.thegood­shop.com.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 12:44 PM

– See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96225#sthash.YixAfuiH.dpuf

Leave a Reply