was successfully added to your cart.

Cart

Sukar, halangan untuk mengalah atau cabaran untuk maju ke hadapan?

By April 27, 2015 March 5th, 2019 News

April 27, 2018 | Nida Zahar

Melangkah masuk ke bangunan putih satu tingkat di sebelah padang permainan SS 3, Pusat Kraftangan OKU Petaling Jaya menyambut kami pada pagi itu dengan suasana tenang. Kami melihat seorang lelaki sedang duduk sambil merenung ke bawah, memandang ke permukaan meja yang terdapat dihadapannya.

Rupa-rupanya dia sedang sibuk menyusun barangan kecil sebesar tapak tangan, kraf yang dihasilkan sendiri daripada dawai separa lembut seakan aluminium. Ng Peng Wai, atau lebih mesra dengan panggilan Peng Wai, yang sedang duduk di kerusi roda kesayangan mengangkat wajah apabila menyedari kedatangan kami.

Di bibir terukir senyuman mesra tanda hormat menerima kedatangan tetamu. Ucapan selamat sama-sama diajukan lalu kami bersalaman.

Seorang lagi sahabat OKU muncul dari dalam pejabat. Dia yang bertanggungjawab menjaga keseluruhan kawasan tampak lebih ramah dan bijak berbasa-basi. Sebotol air mineral dihulurkan kepada setiap seorang yang ada di situ. Kami dipersilakan duduk di kerusi yang tersedia bersusun semeja dengan Peng Wai.

Kami mula berbual. Pada awalnya berkisar kepada kraf dawai yang dihasilkan Peng Wai. Pelbagai bentuk tersedia di hadapan kami. Daripada keychain sehinggalah kepada replika motor Harley Davidson, semuanya hasil unik kerja tangan Peng Wai.

Kemudian, sedikit demi sedikit Peng Wai mula membuka kisah tentang kehidupannya. Tentang susah senang sebagai OKU dan bagaimana dia boleh berjaya menjadi di antara pelopor kepada kraf dawai yang unik itu.

***

Dilahirkan sekitar 60-an, Peng Wai pada asalnya merupakan seorang bayi yang normal. Kehadirannya dinantikan ibu bapa yang tidak sabar-sabar menanti seorang anak lelaki, bakal menjadi harapan keluarga. Dia dilahirkan dengan cukup sifat dan memulakan hidup sama seperti bayi-bayi normal yang lain.

Namun, nasib tidak begitu menyebelahinya. Ketika membesar, Peng Wai mengalami demam panas yang kronik dan pada satu tahap terpaksa dirawat di hospital. Setelah sekian lama, berita menyedihkan disampaikan oleh doktor. Peng Wai rupa-rupanya dijangkiti Poliomyelitis (Polio). Akibatnya, saraf-saraf pada bahagian tertentu di tubuhnya rosak. Tumbesaran di bahagian pinggang ke bawah terbantut dan dia tidak boleh lagi berjalan.

Walaupun kecewa dengan nasib yang menimpa diri, ibu bapa Peng Wai tidak mengalah dan cuba sedaya upaya membesarkan Peng Wai agar boleh berdikari seperti anak-anak yang lain. Ketika mengjangkau 7 tahun, Peng Wai dihantar ke sebuah sekolah rendah untuk sama-sama menimba ilmu dengan kanak-kanak normal seusia.

Sekolah di tempat Peng Wai terletak agak jauh dari rumahnya. Ibu Peng Wai nekad menghantar Peng Wai ke sekolah menaiki basikal setiap hari. Dia berkayuh awal pagi bagi memastikan Peng Wai tidak lewat. Kemudian, dia tidak dapat menunggu lama. Peng Wai ditinggalkan dengan anak-anak dan guru-guru lain yang bukan OKU kerana dia perlu segera ke tempat kerja.

Bagi Peng Wai, persekolahan awal memberikan pengalaman yang amat mengecewakan. Walaupun berkerusi roda, Peng Wai sukar untuk menyesuaikan diri beraktiviti bersama mereka yang mempunyai fizikal normal.

Pada zaman itu juga, kemudahan di sekolah agak terhad. Bukan sahaja tiada kemudahan OKU, warga sekolah juga masih belum terdedah dengan cara hidup insan OKU yang sedikit berbeza dan memerlukan perhatian tertentu. Akibatnya, Peng Wai berasa terpinggir dan dia tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajarannya.

Setelah mendapat pendidikan asas, Peng Wai keluar dari alam persekolahan dan untuk beberapa ketika hanya duduk di rumah.

Pada suatu hari, ketika usia Peng Wai memasuki belasan tahun, Peng Wai dihantar keluarganya ke sebuah sekolah OKU aliran vokasional. Pada ketika itulah terlihatnya peluang untuk Peng Wai mempelajari kemahiran tertentu yang bakal membolehkannya mencari nafkah apabila dewasa kelak.

Peng Wai diajar kemahiran elektronik. Pada ketika itulah Peng Wai mula merasakan dirinya mempunyai kemampuan untuk lebih maju ke hadapan. Keyakinan dirinya bertambah dan dia bersungguh-sungguh belajar sehingga mahir. Tamat pengajian, Peng Wai pergi mencuba nasib dengan memohon pekerjaan di perusahaan yang memerlukan kemahirannya.

Malangnya, walaupun telah mencuba sedaya upaya, bakal-bakal majikan yang memanggil Peng Wai untuk ditemuduga pasti akan tidak menerima apabila melihat keadaan dirinya. Walaupun mempunyai kemahiran setanding dengan mereka yang normal, Peng Wai gagal mendapat sebarang tawaran kerja. Perkara ini amat mengecewakan Peng Wai sehingga dia berasa berat mahu mencuba lagi. Dia tahu, dia perlu lakukan sesuatu agar dirinya tidak terus-menerus membebankan keluarga yang bukanlah orang senang. Akan tetapi, dia tidak tahu apakah lagi yang harus dilakukan.

Pada suatu hari, Peng Wai terserempak dengan seorang rakan OKU yang sama-sama belajar di sekolah vokasional. Kawannya memberitahu yang dia sedang bekerja di sebuah kilang membuat perabot rotan. Peng Wai tertarik dan meminta kawannya membawa berjumpa pengurus untuk memohon kerja.

Permohonan Peng Wai diterima. Dari saat itu, Peng Wai mula bekerja di kilang perabot rotan sebagai pembuat perabot. Rotan merupakan satu bahan yang boleh dilentur dan dibentuk-bentuk menjadi perabot. Peng Wai diberikan latihan secukupnya untuk menghasilkan perabot rotan yang kukuh, cantik, dan berkualiti tinggi.

Menurut Peng Wai, bukanlah mudah bagi seorang yang tidak boleh berdiri untuk membuat kerja-kerja tersebut. Tetapi, itu bukanlah halangan. Dengan kemahiran yang ada, kerja yang sukar menjadi mudah. Kesungguhan Peng Wai menjadikan Peng Wai kekal mencari nafkah di situ untuk beberapa tahun.

Rotan merupakan bahan yang tidaklah mudah untuk didapati. Permintaan untuk perabot rotan juga semakin menurun dari sehari ke sehari. Akibatnya, pada suatu ketika, kilang perusahaan perabot rotan tempat Peng Wai bekerja terpaksa ditutup. Sekali lagi Peng Wai risau apa yang akan terjadi kepada dirinya. Bagi insan OKU, bukanlah mudah untuk mencari peluang kerja seperti insan lain.

Ketika hampir menemui jalan buntu, Peng Wai bernasib baik kerana terjumpa dengan seorang lagi rakan. Rakannya itu mengajak Peng Wai untuk menghasilkan kraf menggunakan dawai. Daripada kemahiran asas penghasilan dua bentuk produk, Peng Wai mula mencuba-cuba merekabentuk rekaan yang lebih kompleks. Kelebihan berkerja selama bertahun-tahun di kilang perabot rotan memberikan Peng Wai sedikit kelebihan. Teknik melentur dan membentuk rotan mempunyai persamaan dengan dawai.

Peng Wai akhirnya mencari nafkah dengan penghasilan kraf dawai. Dia menjual hasil-hasil krafnya di pelbagai lokasi di mana terdapatnya peluang berniaga. Kadangkala di pusat membeli belah terkemuka dan kadangkala di tempat-tempat sarat pengunjung.

Biasanya, Peng Wai akan memilih lokasi yang mudah untuk diakses dengan berkerusi roda melalui pengangkutan LRT.

***

Di The Good Shop, kami membawakan hasil kraftangan daripada Peng Wai untuk dijual di Popup Store kami.

Peng Wai juga menyatakan kesediaannya untuk mengadakan kelas kepada sesiapa yang berminat untuk mempelajari kraf dawai. Kelas diadakan sebagai perkongsian agar kemahiran seni kraf yang unik ini diperluaskan seterusnya memberi manfaat kepada mereka yang meminatinya.

Setelah berbual dengan Peng Wai mengenai urusan pengambilan stok untuk Popup Store yang akan dibuka di Avenue K pada bulan April, kami mengucapkan selamat tinggal dan sempat membeli beberapa hasil kraf sebagai koleksi peribadi. Kami tidak henti-henti memuji kehalusan hasil tangan Peng Wai dan tidak sabar untuk membawa seni kraf yang menarik ini untuk dijual di Popup Store kami.